Wednesday, April 29, 2009

NIAT..

HADIS 1 : Pahala Amal Tergantung Niatnya..

Dari Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar bin Khattab ra berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah saw bersabda’ :

“Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang ia niatkan. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ia nikahi, maka ia akan mendapatkan apa yang dituju.

Semua perkara yang kita lakukan, bermula dengan niat. Niat di dalam hati. Tiada siapa yang dapat mengetahuinya jika kita tidak memberitahunya kepada sesiapa. Namun, Allah maha mengetahui. Setiap apa yang terlintas di hati dan fikiran kita, tidak terlepas dari pengetahuan-Nya, sebab Dia adalah pencipta kita. Masakan pencipta tidak dapat mengawal dan mengetahui setiap gerak geri makhluk ciptaan-Nya? Itu lah manusia. Kita sering leka, sering alpa. Kita lupa setiap apa yang kita niatkan, apa yang kita lakukan, setiap gerak geri kita, adalah dalam pengawasan-Nya. Walaupun Dia tidak kelihatan di mata kita, tapi Dia maha memerhati setiap perlakuan dan tingkah laku kita dan semua makhluk ciptaan-Nya.

Kenapa kita segan dan malu untuk mempamerkan kemungkaran kita di depan manusia? Kenapa tidak sedikit pun kita berasa malu untuk melakukan kemungkaran di belakang manusia? Lupakah kita kepada Dia yang setiap sedetik memerhatikan kita tanpa rasa jemu? Sedarkah kita, Dia lah yang akan memberi hitungan pahala atau dosa kepada kita? Tapi, itulah realiti. Manusia malu kepada manusia lain untuk melakukan kemungkaran di depan mata mereka. Sedangkan manusia yang melihat itu tidak mampu sedikit pun untuk memberi ganjaran pahala atau dosa kepada kita. Mungkin seketika itu, sedikit pujian dilemparkan kepada kita, yang mana pujian itu tak kan kekal lama, cuma bertahan sementara. Namun, dosa yang kita dapat, akan terus kekal, kini dan selamanya, menunggu hari penghisaban, menanti jawapan akhir, syurga atau neraka. Kelihatan begitu sempurna di mata manusia, tapi di mata Allah, langsung tiada nilai, nauzubillah.

“(Ingatlah) pada hari (ketika) setiap jiwa mendapatkan (balasan) atas kebajikan yang telah dikerjakan dihadapkan kepadanya, (begitu juga balasan) atas kejahatan yang telah dia kerjakan. Dia berharap sekiranya ada jarak yang jauh antara dia dengan (hari) itu. Dan Allah memperingatkan kamu akan diri (siksa)-Nya. Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya.” (Ali ‘Imran : 30)

Itulah lumrah sifat manusia, sering lupa. Kita juga lupa yang setiap apa yang kita lakukan, akan diminta pertanggungjawaban di hari akhir nanti. Setiap saat yang kita lalui di dunia ini, akan ditanya dan diminta pertanggungjawaban. Untuk apa kita bersusah payah belajar, bekerja, menghabiskan usia hanya untuk mengejar cita-cita? Kalau niatnya hanya untuk dunia, maka sia-sialah segala apa yang kita lakukan selama ini. Langsung tiada nilai di sisi Allah. Betapa ruginya usia yang Allah berikan hanya untuk mengejar dunia. Seharusnya apa yang kita lakukan, kita niatkan lillahitaala, untuk beribadah kepada-Nya, mencari keredhaan-Nya. Dunia dan segalanya akan mengikuti, kalau redha Allah yang jadi tujuan.

Segala perbuatan baik maupun buruk, bermula dengan niat. Niat itu lahirnya dari hati. Supaya hati kita sentiasa berniatkan perkara yang baik, hati hendaklah bersih, suci. Bersih dan suci dari perkara-perkara mungkar, perkara-perkara jahiliyah. Akhlak yang mulia merupakan cerminan dari hati yang bersih dan suci. Jika akhlak tidak baik, mungkin hatinya bermasalah.

“Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)?
(al-Qiyamah : 36)